Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Senyuman kepada saudaramu adalah sedekah"

Dari Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata,Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Sembahyang itu membawa ke tengah jalan, berpuasa memajukan kamu ke hadapan dan sedekah (saling membantu) memasukkan kamu kedalamnya"

Thursday, 12 April 2012

ASAS PERAKAUNAN

Aset = Liabiliti + Modal + Untung Bersih @

Aset = Liabiliti + Modal + Hasil - Belanja @


 A + B = L+ E +H (Ingat AB LEH)

Aset + Belanja = Liabiliti + Ekuiti (Modal + Untung Bersih) + Hasil



1) ASET

Aset merupakan sumber ekonomi yang dimiliki oleh sesebuah organisasi perniagaan. sumber ini boleh memberi faedah kepada organisasi perniagaan untuk pengendalian aktiviti pada masa hadapan atau untuk dijual kepada pihak ketiga. Aset boleh berbentuk fizikal seperti wang tunai, barang niaga, tanah, perabot dan mesin. Aset juga boleh berbentuk fizikal seperti hak cipta dan paten. Aset perniagaan boleh dikelaskan kepada dua, iaitu aset semasa dan aset tetap.

Aset Semasa
Aset semasa merupakan aset yang mudah ditukar menjadi wang tunai boleh dijual atau digunakan dalam pembuatan barang dalam tempoh satu tahun. Contoh aset semasa ialah tunai di tangan, tunai di bank, penghutang, stok barang niaga, pelaburan sementara, belanja terdahulu dan hasil terakru. 

Aset tetap
Aset tetap adalah aset yang tidak mudah ditukar menjadi wang tunai. Aset tersebut digunakan secara berterusan dalam aktiviti sesebuah organisasi yang tempoh penggunaannya melebihi setahun. Contoh aset tetap ialah tanah, bangunan, kenderaan, perabot dan alatan pejabat.

2)BELANJA

Belanja merupakan kos perkhidmatan atau barang yang digunakan untuk membantu organisasi perniagaan memperoleh hasil. Sesuatu belanja dianggap telah berlaku apabila belanja itu digunakan untuk mendapat hasil dalam sesuatu tempoh perakaunan, tidak kira sama ada belanja itu telah dibayar atau belum. Contoh belanja termasuklah kos pembelian barang niaga, kos pembuatan, gaji pekerja, bayaran elektrik, kos pengangkutan, rugi daripada jualan aset bukan semasa dan sebagainya. Kos aset dan hutang pelanggan yang telah dihapus kira juga merupakan belaja perniagaan. Belanja perniagaan mengurangkan ekuiti pemilik dan belanja boleh dikategorikan sebagai belanja kendalian dan belanja bukan kendalian.

Belanja Kendalian
Belanja kendalian merupakan belanja yang terlibat dalam menjalankan aktiviti biasa perniagaan seperti gaji pekerja, belanja iklan, insurans dan sebagainya.

Belanja Bukan Kendalian
Belanja bukan kendalian merupakan belanja yang terlibat di luar aktiviti biasa organisasi tersebut. Contohnya, rugi daripada jualan aset bukan semasa, kecurian atau rugi luar biasa kerana bencana alam atau kebakaran.
3) LIABILITI

Liabiliti merupakan hutang perniagaan kepada pihak luar yang perlu dijelaskan bagi pembekalan barang niaga, perkhidmatan, atau pinjaman wang. Liabiliti terdiri daripada perseorangan atau pertubuhan yang memberi pinjaman (kredit) kepada sesebuah organisasi perniagaan sama ada dalam bentuk wang tunai, barang niaga atau aset lain. Liabiliti boleh dikelaskan kepada liabiliti semasa dan liabiliti jangka panjang.

Liabiliti Semasa
Liabiliti semasa adalah liabiliti yang perlu dijelaskan dalam tempoh satu tahun. Contoh liabiliti semasa ialah pemiutang, overdraf bank, belanja terakru dan hasil terdahulu.

Liabiliti Jangka Panjang
Liabiliti jangka panjang perlu dijelskan dalam masa melebihi tempoh satu tahun. Contoh liabiliti jangka panjang ialah pinjaman bank dan gadai janji.

4) EKUITI PEMILIK

Jika liabiliti merupakan tuntutan pihak luar terhadap aset perniagaan, ekuiti pemilik pula adalah tuntutan pemilik terhadap aset perniagaan. Ekuiti pemilik dalam sesebuah organisasi perniagaan terdiri daripada modal yang dilaburkan dan untung yang diperoleh daripada kendalian perniagaan.

Sumber Ekuiti pemilik
Sumber Ekuiti pemilik bergantung kepada bentuk organisasi perniagaan. Sumber ekuiti bagi milikan tunggal terdiri daripada jumlah modal yang dilaburkan oleh pemilik perniagaan ke dalam perniagaannya. Ekuiti pemilik juga merangkumi jumlah keuntungan perniagaan terkumpul (dilaburkan semula) dalam perniagaan. Ekuiti pemilik akan berkurang jika perniagaan mengalami kerugian atau ambilan (barang niaga atau wang tunai) oleh pemilik untuk kegunaan sendiri.

Sumber ekuiti bagi perkongsian terdiri daripada modal yang disumbangkan oleh pekongsi. Ekuiti bagi syarikat berhad pula terdiri daripada jualan saham kepada pemegang saham semasa syarikat ditubuhkan atau apabila syarikat memerlukan modal tambahan. Di samping saham, ekuiti syarikat juga terdiri daripada premium saham dan untung terkumpul yang tidak dibahagikan.

5) HASIL

Hasil merupakan jumlah wang yang diterima atau tuntutan wang yang akan diterima daripada jualan barang niaga atau perkhidmatan, faedah, dividen, komisen, sewa dan sebagainya. Penerimaan hasil menyebabkan pertambahan terhadap ekuiti pemilik. Hasil perniagaan boleh dikategorikan sebagai hasil kendalian dan hasil bukan kendalian.

Hasil Kendalian
Hasil kendalian sesebuah organisasi perniagaan merupakan hasil yang diperoleh daripada aktiviti utama perniagaan, iaitu jualan barang niaga (perniagaan barang) dan hasil dariapada perkhidmatan yang diberi (perniagaan perkhidmatan).

Hasil Bukan Kendalian
Hasil Bukan Kendalian adalah hasil yang diperoleh daripada aktiviti lain selain aktiviti utama sesebuah organisasi perniagaan. Contohnya faedah atas simpanan, sewa diterima, dividen daripada pelaburan dan untung daripada jualan aset bukan semasa terpakai.





Sumber :Prinsip Perakaunan Ting 4 KBSM,
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2002 

No comments:

Post a Comment